Shopping Bag (0) Items | RM 0.00

Create an account

Iklan eKarya

majalahsquare

Majlis Pra Ulang Tahun UrTV 40

Oleh: Noor Joha Ahmad
Lokasi: Dewan Karya Sdn Bhd
Tarikh: 05 Januari 2010

 

BUKAN mudah untuk bertahan dalam tempoh yang lama dan menjadi majalah hiburan paling popular, lebih-lebih lagi dengan kebanjiran majalah-majalah hiburan lain di pasaran.

Empat puluh tahun bukan satu tempoh yang singkat untuk majalah URTV, terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) terus berada di pasaran dan bertahan  sebagai legasi majalah hiburan popular bagi Kumpulan Utusan (M) Berhad amnya dan UKSB khasnya.

Tahun 2010 merupakan tahun sambutan ulang tahun majalah tersebut untuk kali  40, dan ia secara rasmi akan disambut pada March nanti.

Bagi sambutan awal dan pra ulang tahunnya, URTV telah mengadakan satu majlis pra ulangtahun ke-40 bertempat di pejabat UKSB di Bangi.

Sambutan yang diadakan secara sederhana tetapi meriah dihadiri hampir 60 artis tanahair. Antara yang mereka ialah Mawi, Ekin, Zoey, Farah AF, Diddy, Emma Akma, Syazliana, Tisha, Rizal,  Nassier Wahab, Nurul, Ramlah Ram, Nabil Mentor, Jac Victor, Jaafar Onn, Pian Cecupak, Amanda, Syed Ali, Nazim Othman, Aliff Satar, Lisdawati, Fauzi Nawawi, , Kumpulan Radio Manual, Shila, Yazid AF dan Airil AF.

Tidak ketinggalan rakan-rakan juruhebah dari stesen Sinar FM, Era FM dan Suria FM serta pegawai-pegawai perhubungan awam dari beberapa syarikat rakaman dan hotel.

 

Majlis yang diacarakan Roslan Shah itu diserikan dengan majlis memotong kek ulang tahun oleh sidang redaksi URTV dan barisan artis yang hadir.

Pengarang URTV, Huzzaini Kamaluddin memberitahu majlis ini bukanlah majlis ulang tahun yang diadakan secara besar-besaran, tetapi sekadar sambutan pra ulang tahun sahaja.

"Saya harap tidak ada pihak yang berkecil hati jika tidak menerima undangan pada majlis ini. Kami akan merangka sebuah majlis yang lebih besar lagi untuk sambutan ulang tahun URTV pertengahan tahun ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada mereka yang menaja kek-kek. Juga ucapan terima kasih saya kepada Pak Engku dari Kuzie Katering yang menaja hidangan minum petang pada hari itu,’’kata dikenali sebagai  Huzz.

Selain itu majlis sambutan pra ulang tahun URTV diserikan lagi dengan persembahan artis seperti Imran Ajmain, Adilla, Nassier Wahab dan Shila.

Sesuai dengan usianya yang menjangkau 40 tahun, sambutan ulang tahun URTV akan diraikan sepanjang tahun 2010.

UKSB telah merangka beberapa siri promosi dan majlis untuk URTV antaranya, pertandingan futsal yang bakal diadakan pada Februari nanti.

"Pertandingan futsal ini akan diadakan di Subang Jaya dan tarikhnya masih belum ditetapkan. Dalam pertandingan itu nanti kami akan memilih 40 kumpulan futsal dan pertandingan itu akan diadakan sehari sahaja. Setakat ini kami telah melantik sebuah syarikat untuk mengendalikannya dan sedang berusaha mencari penaja. Pertandingan futsal ini bertujuan untuk mendekatkan URTV dengan pembaca.’’

Ini untuk mendekatkan lagi pembaca dengan tim majalah ini selain  artis yang ikut serta dalam program yang kami sedang rangkakan,’’ujar Huzz lagi.

Rangka promosi tersebut tidak terhad hanya di Kuala Lumpur saja, tetapi  juga di luar bandar. Tahun 2010, URTV turut mengadakan program bersama-sama peminat melalui beberapa projek yang sedang diusahakan.

Sementara itu, pada 4 Februari, Bukit Kiara Golf & Country Club dengan kerjasama Jaafar Onn akan meraikan URTV dengan mengaturkan satu majlis khas melibatkan artis-artis tanah air.

Mengimbas semula tentang majalah legenda milik Utusan Karya Sdn Bhd ini, majalah yang terkenal dengan motto majalah hiburan paling popular diterajui oleh barisan  pengarang yang berkaliber.

 Mereka ialah  S. Hashim (1970), Nor Shah Thamby (1980), Bahyah Mahmud  (1990), Fatimah Hassan (2000), Rosli Manah (2005) dan sekarang Huzz (bermula tahun 2008)

URTV telah diterbitkan 15 Januari 1970 dengan muka depannya, seniwati Datuk Sarimah Ahmad. Bermula dengan harga RM0.30  ketika itu, kini selaras dengan penerbitan masa kini,  dengan lebih menambahkan bilangan muka surat dengan semua halaman warna, dan kos percetakan, URTV dijual dengan harga RM3.50.

URTV terbaru di pasaran (edisi 15 Januari) merupakan bilangan keluaran ke 762. Sidang redaksi majalah URTv sekarang ini terdiri daripada Norzeha Kasbi (Penolong Pengarang), Nurhafizah Ahmad (Shana), Che Mohd. Izwandddin Che Deris dan Mastura Burhanuddin serta Azman Taha (pelukis kreatif).