Shopping Bag (0) Items | RM 0.00

Create an account

Iklan eKarya

majalahsquare

Konsert Karaoke HAI Final

OLEH: TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN
FOTO: NOOR AZLINA JAAFAR
TARIKH: 3 Oktober 2009
LOKASI: Red Box  The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur


Farhana juara Suara Karaoke HAI- Red Box 2009


DEBARAN finalis Suara Karaoke HAI-Red Box 2009 akhirnya terjawab dalam pertandingan akhir yang diadakan di Red Box  The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur pada 3 Oktober lalu.

Sebanyak tujuh peserta yang terpilih daripada 1000 peserta di lima lokasi pertandingan yang dibawa khas oleh Jamu Mak Dara Sdn. Bhd. serta pusat karaoke keluarga terkemuka negara, Red Box, Green Box dan Red Box Ria di Johor Bahru, Klang, Seremban, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur hadir seawal pukul 10.00 pagi bagi persediaan untuk peringkat akhir yang bermula pada pukul 2.00 petang.

 

Peserta-peserta yang bertanding di peringkat akhir ialah Nur Ulfa, Khairul Anuar, Farhana Mohamad, Mohd. Rushdan, Nur Fazrah, Ahmad Fayzal, dan Hasfareza Harun.

Bagi menambah daya keyakinan dan menyerlahkan kecantikan kesemua finalis telah disolek dan didandan oleh jurusolek profesional, Emma Mustapha, Deqsha dan Sha Tambie.

Para finalis juga cukup bertuah apabila pakaian mereka untuk peringkat akhir telah ditaja oleh pereka-pereka fesyen terkenal tanahair.

Segak dan menawan sungguh finalis akhir selepas mengenakan busana indah rekaan Bon Zainal, Hatta Dolmat dan Amir Luqman.



Sengit

Peringkat akhir petang itu telah diadili oleh barisan juri yang terdiri daripada Penolong Pengarang HAI, Emma Hassan, Pengarah Pemasaran & Pembangunan Perniagaan Kumpulan Red Box Karaoke, Desmond Chin, Penasihat Cherry Talent and Management, Along Bakar, penyanyi dan guru vokal popular, Hazami sebagai juri jemputan serta komposer, Julfekar Ahmad Shah selaku ketua juri.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengarah Urusan Kumpulan Red Box Karaoke, Valerie Choo, Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn. Bhd., Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali, Ketua Pengarang Majalah Utusan Karya, Badrul Azhar Rahman dan Ketua Visualiser Majalah Utusan Karya, Azha Abu Bakar serta artis popular tanahair, Alyah dan Haliza Misbun.

Ternyata bakat tujuh finalis peringkat separuh akhir ini begitu hebat dengan keunikan dan kemantapan vokal mereka.

Begitu sengit sekali mereka bersaing bagi merebut hadiah lumayan dan peluang menjadi artis rakaman syarikat rakaman Millennium Art Sdn. Bhd milik Julfekar.

Menurut Julfekar, semua finalis yang bertanding mempunyai potensi yang sangat bagus dan mereka dapat menyanyi lagu yang sedia ada dan lagu baru dengan baik sekali.

“Saya boleh nampak kesungguhan mereka. Nampak mereka teruja dan berusaha bersungguh-sungguh mendalami dan memahami lagu baru yang diberikan.

“Bila mereka menyanyi lagu penyanyi lain, vokal mereka lebih terikut lenggok penyanyi asal. Namun, mereka berubah apabila menyanyikan lagu baru dan itulah suara sebenar mereka,” ujar Julfekar yang hanya mengambil masa selama dua minggu menyiapkan tujuh buah lagu baru untuk kesemua finalis.

Sementara itu, Hazami pula memberitahu HAI bahawa semua finalis akhir memang boleh menyanyi dan mempunyai vokal yang merdu.

“Saya kagum melihat tujuh anak muda berbakat besar ini memperjuangkan seni muzik kita.

“Saya lihat semua peserta mempunyai peluang yang cerah dan boleh pergi jauh dalam industri kita. Masing-masing mempunyai kekuatan dan keistimewaan masing-masing,” kata Hazami.

Selepas kesemua tujuh peserta tamat mendendangkan lagu pilihan masing-masing serta lagu baru ciptaan Julfekar, pengunjung dihiburkan pula dengan persembahan artis jemputan dari syarikat rakaman Millennium Art Sdn. Bhd iaitu Farlyana dan Syazwanie serta anak didik Hazami, Farith Taib.


Rezeki gadis bernama Farhana

Kemantapan vokal melalui lagu baru, Jalan Hidup ini dan lagu Cinta Yang Syahdu yang dipopularkan oleh Nurul Wahab, berjaya menambat hati juri sekali gus mencatatkan kutipan markah tertinggi menobatkan Farhana Mohammad sebagai juara Suara Karaoke HAI-Red Box 2009.

Gadis dari Johor Bahru itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000, baucer Red Box bernilai RM200 dan  produk Jamu Mak Dara Sdn. Bhd.

“Saya bersyukur sangat dengan kejayaan ini. Rasa macam tak percaya saja jadi juara.

“Dah lama saya tidak menyertai mana-mana pertandingan nyanyian dan saya anggap kemenangan ini merupakan rezeki dan hadiah harijadi emak saya,” jelas Farhana.

Naib johan pula dimenangi oleh Khairul Anwar A. Shukor, 23, yang mempertaruhkan lagu baru, Dongeng Cinta dan lagu My Baby You dendangan Marc Anthony. Dia membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, baucer Red Box bernilai RM200 dan   produk Jamu Mak Dara Sdn. Bhd..

“Saya rasa terkedu dan terkejut sebab saya langsung tidak menyangka akan dinobatkan sebagai naib juara.

“Persaingan di peringkat akhir ini terlalu hebat terutamanya daripada dua lagi peserta lelaki iaitu Fayzal dan Rushan,” terang jejaka dari Kuala Lumpur ini.

Manakala peserta dari Perlis, Hasfareza Harun, 21, yang mendendangkan lagu baru, Adakah Aku Berpaling dan lagu Cinta nyanyian Rossa pula menduduki tempat ketiga dengan memenangi hadiah wang tunai RM2,000, baucer Red Box bernilai RM200 dan   produk Jamu Mak Dara Sdn. Bhd.

“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur sangat walaupun hanya mendapat tempat ketiga. Cabaran peringkat final ini sangat sengit kerana setiap finalis mempunyai kekuatan tersendiri.

“Mula-mula nama saya diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga, saya rasa terkejut sangat. Pengorbanan saya datang ke Kuala Lumpur dari jauh akhirnya berbalas dengan kejayaan ini,” kata Hasfareza.

Sementara itu, finalis akhir lain tidak pulang dengan tangan kosong apabila menerima hadiah saguhati wang tunai bernilai RM300, baucer Red Box bernilai RM100 dan produk barangan Jamu Mak Dara Sdn. Bhd. setiap seorang.

Hadiah wang tunai untuk juara adalah tajaan Red Box manakala naib juara, tempat ketiga dan sagu hati adalah tajaan Jamu Mak Dara Sdn. Bhd.